Sunday 11 August 2013

Syukur KIni Aku Menutup Aurat!

Detik waktu yang semakin hari semakin membuka mata aku yang sedikit sepet ini untuk melihat betapa indahnya wanita yang menutupi auratnya dan melabuhkan pakaiannya di hadapan ajnabi. Aku masih samar dan hampir setahun lebih mencari identiti diri dengan membandingkan diri aku dengan wanita-wanita muslimah yang lain.
“Ya Allah, bagaimanakah dia boleh berpakaian menutup aurat begitu, sedangkan aku masih berpakaian membalut aurat?”
“Aku nak pakai cantik-cantik la, biar jejaka-jejaka hensem melihat dan mengetahui kewujudan aku.”
“Aku nak hias elok-elok la sikit sebab nak jumpa kekasih hati aku.”
“Eh, dia tu pakai baju besar-besar tak rimas ke?”
Dan banyak lagi kenyataan dan persoalan yang dituturkan dalam minda dan hati aku. Astaghfirullahalaziim… begitu kolot pemikiran aku.
Aku pernah terfikir untuk mencuba berubah dan berhijrah menutup aurat dengan sempurna setelah masuk ke alam kampus. Namun, aku terlalu mengikut kata hati yang kadangkala membuat keinginan berubah itu menjadi mati.
Fikiran aku terus berputar mengatakan bahawa, jika aku ingin berubah untuk menutup aurat dengan sempurna, seluar jeans yang baru dibeli macamana? Baju-baju kesayangan tak dapat dipakai lagi, dan sewaktu dengannya. Tanpa aku menyedari, Allah telah membuka pintu hati aku secara perlahan-lahan, memberi taufik dan hidayah-Nya untuk mengubah cara berpakaianku seperti wanita muslimah yang ingin mencari syurga yang abadi.
iluvislam, hijab
Dan aku yakin, segelintir kaum hawa yang menangguh untuk berubah adalah disebabkan tidak bersedia untuk beristiqamah, kerana perangai yang kurang elok, dan rasa sayang terhadap pakaian yang baru dibeli, mahal dan cantik.
Wahai kaum hawa, berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk menutup aurat dengan sempurna, berkorbanlah walau kalian sayang dengan pakaian mahal, sendat, cantik dan seumpama itu. Percaya dan yakinlah bahawa, pengorbanan itu tidaklah sia-sia melainkan pelbagai limpahan ganjaran yang akan Allah hadirkan nanti.
Memang ramai yang terfikir :
“Tutup aurat je, perangai tak tahulah; lebih daripada setan.”
“Harap je tutup melitup, perangai tak senonoh, ketawa berdekah-dekah.”
“Kalau aku nak berubah pakai elok-elok, aku nak ubah perangai dulu.”
Wahai sekalian sahabat-sahabat, perangai susah nak berubah. Kalau la nak tunggu perangai berubah dulu, kita tak tahu bila la nak dapat tutup aurat seperti garis panduan Islam. Buka minda kita, cuba berfikir secara logik, sekiranya kita cuba untuk menutup aurat dengan sempurna, dengan izin Allah, secara perlahan-lahan perangai yang buruk tadi akan turut berubah ke arah yang lebih baik. insyaAllah. Sama-sama kita doakan.
Hadirnya aku di sini, ingin cuba membuka mata kaum hawa yang aku cintai, sedarlah kita hidup cuma sementara, mati tak tahu bila, ajal masa mana pun boleh tiba. Berubahlah sebelum terlambat, berkorbanlah kerana pengorbanan itu harus dikorbankan.
Untuk apa?? Untuk menggapai redha Ilahi.
Untuk siapa?? Untuk Pencipta kita yang seharusnya kita patuhi.
Mengapa?? Kerana itu dituntut dalam Islam agama yang kita anuti.
Dan mengapa?? Kerana kita sememangnya hamba ALLAH, yang seharusnya minda dan hati selalu ingat Ilahi.
Alhamdulillah aku berubah kerana Allah. Allah telah hadirkan seseorang sahabat kepada aku yang dulunya berpakaian ‘rockers’ dan secara drastiknya dia memakai tudung bulat labuh. SubhanAllah, aku mengagumi kekuatan yang Engkau berikan kepada dirinya.
Lantas mindaku berputar ligat berfikir, “Dia boleh berubah, kenapa tidak aku?”
Aku mengumpul segala kekuatan, berubah kerana Allah, Allah lah yang menciptakan sekalian makhluk, kenapa tidak kita berkorban kerana-Nya? Sungguh banyak nikmat yang diberikan, tidakkah kita rasa betapa sayangnya Dia pada kita.
Diri ini bukanlah sempurna sangat tapi  mencuba untuk menyampaikan apa yang Allah suruh dan aku cuba untuk menyampaikan dakwah walaupun hanya sedikit.  Sudah jelas dalam Al-Quran, Allah menyuruh hamba-Nya menutup aurat, bukan membalut aurat.
“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi, pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.” (Al-A’Raf: 26)
Sekiranya kita sendiri mengkhianati diri kita, dan membuat kezaliman terhadap diri kita, maka siapa akan menolong kita nanti.
“…Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanyaakan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup duniawi, selanjutnya kepada kamilah kembalimu, kelak akan kami kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Yunus: 23)
Marilah berubah wahai kaum hawa. Tutuplah aurat dengan sempurnya. tak usah lah nak buka sini buka sana.
iluvislam, hijab
Dan… Al-Quran tidak ada keraguan padanya. Takutlah pada azab Allah. Cuba tutup aurat dengan sempurna, insyaAllah akan ada perubahan yang baik terhadap sesuatu yang lain.
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 2)

Monday 3 June 2013

Sahabatku..Temanku..

.."Tidak sempurna iman seseorang itu jika dia tidak mencintai saudaranya                                                         sendiri,sepertimana dia mencintai dirinya sendiri"..

Semua orang didunia ada sahabat kan?mustahil kita tidak ada sahabat walaupun seorang..Apa makna sahabat?Bagi saya,sahabat merupakan antara orang yang paling dekat dihati kita.
Tanpa mereka,siapa jugalah kita kan?berikut saya senaraikan sikit antara hadis Nabi SAW berkenaan dengan makna sahabat;
"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu'man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda ;
"Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur."
(Hadis riwayat Muslim)
"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati."
"Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya."
(Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
"Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

Dalam islam sendiri ALLAH menggalakkan kita bersahabat,berteman,berkasih antara kita dan sebab itulah ALLAH menjadikan kita berbilang kaum dan warna kulit agar kita dapat saling kenal dan hormat-menghormati. Nah!ini terbukti apabila turunnya ayat :
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." 
(surah al-Hujurat [049] ayat 13)
Sifat yang perlu ada sebagai seorang sahabat:
* Ikhlas bersahabat kerana ALLAH
* Redha menerima kekurangan sahabat kita
* Tidak mengharapkan kebaikan atau ada niat yang tersembunyi
* Sabar dan menegur sahabat dengan berhikmah
* Sayang sahabat kita seperti sayang diri sendiri
* Sanggup berkorban demi kebaikan sahabat
* Bertolak ansur dalam sesuatu perkara
* Berfikiran terbuka dalam menerima pendapatnya
Bersahabatlah kerana ALLAH,pasti indah perhubungan itu. Bersahabat juga tidak terlepas daripada berselisih faham, kita lah yang harus bijak menangani masalah itu. Jangan sampai terputus silaturrahim ini. Sahabat, maafkanlah setiap kesalahan sahabat-sahabatmu. Memohon maaf terlebih dahulu bukan bererti kita kalah atau salah tapi demi menjernihkan keadaan,tidak salah kan kalau kita tolak ego kita ketepi?..

P/S:..saya sayang sahabat2 saya....^_^.

Friday 31 May 2013

Hidup lebih Bahagia bila Aurat dijaga..:)


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saat ini ku tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri ini dapat istiqamah dengan penghijrahan diri.
Beberapa tahun yang lalu, aku adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup sekadar bertudung walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat, bukan menutup aurat. 
Pada masa yang sama, solat ku juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah kadang-kadang tertinggal. Bukan aku tidak sedar semua itu adalah salah, tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan hamba Allah.
Benar, ketika itu setiap kali aku keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang liar memandang padaku. Pernah juga aku diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai gangguan lagi yang aku hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan sesungguhnya aku tidak tenang dengan situasi begitu.
Namun, pada suatu ketika, aku mula terfikir sejenak, apakah cara hidup aku seperti ini akan memberi kebahagiaan kepadaku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan, pada saat itu, aku mula bersahabat baik dengan seorang rakan sekuliah aku. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya agak sempurna, auratnya tertutup rapi.
Aku berasa sangat tenang melihat beliau. Secara perlahan-lahan tanpa disedari, aku mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai kasut yang bertutup.
Sememangnya diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu.. pakaian yang longgar memudahkan aku untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.
Sesuatu yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri aku tidak menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! Ke mana sahaja yang aku pergi, tiada lagi gangguan!
Selain itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat aku semakin terjaga. Walaupun aku tidak tahu adakah sempurna solatku, namun ia tidak lagi sering tertinggal seperti sebelum ini.

Alhamdulillah, kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam kehidupanku. Selain itu, aku juga turut membiasakan diri dengan berniqab supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada sesiapa.
Dan yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi tatapan buat suami tercinta kelak.
Namun, belum dapat diistiqamahkan, kerana faktor tempat belajar dan keluarga.
Apa yang pasti, setiap yang berlaku dengan izin-Nya itu telah banyak mengubah kehidupanku. Aku berasa amat bahagia dan tenang dengan diri ku yang baru.
Semoga penghijrahan ini diredhai Allah dan mampu istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman sebilikku, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata kerana-Nya. Semoga aku dan wanita di luar sana dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insyaAllah.
Adik-adik dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti ku dahulu, ayuhlah kita berhijrah! Insya-Allah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik.
Ingatlah, harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara... kecantikan dan keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna...

Allhamdulillah..:)