Wednesday 12 October 2011

BERUNTUNGLAH YANG MENJADI GHURABA



Rasulullah SAW bersabda:

“Islam itu datang dalam keadaan asing, dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana mulanya ia, maka beruntunglah orang-orang yang asing(ketika keasingan Islam yang kedua itu)” Hadith riwayat Muslim.

Perkataan beruntung di dalam terjemahan hadith ini, menggunakan perkataan ‘Tuuba’. Rasulullah SAW tidak menggunakan perkataan ‘Basyara’ yang juga membawa maksud kegembiraan, keuntungan. Mengapa?

Hal ini kerana, ‘Tuuba’ adalah keuntungan yang tertinggi.

Apakah keuntungan yang tertinggi?

Semestinya syurga Allah SWT. Itulah ganjarannya bagi mereka yang menjadi asing dengan membawa Islam di tengah masyarakat meninggalkannya.

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Saff ayat 12-13.



Keyakinan bahawa ini adalah jalan ke syurga

Seorang yang memahami Islam, sepatutnya bergerak atas tolakan keimanan. Bukannya dengan haluan nafsu dan kepuasan individu lain.

Memang keperitan adalah mahar ke syurga. Tiada yang membawa Islam dalam keadaan tidak diduga. Sungguh kebenaran akan sentiasa dicabar. Persoalan yang timbul adalah siapakah yang berani menegakkannya?

Di sinilah kita meyakini betapa kita mengambil jalan ini, mengambil Islam yang sebenar dan merasa izzah dengannya adalah kerana kita faham bahawa inilah dia jalan kita ke syurga.

Apakah punya jalan lain selain mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya?

Tiada.

Tiada.


Bersabar teguh atas jalan ini

Menjadi ghuraba’ memang cabaran. Tiada yang menyatakannya mudah. Namun ia akan terasa ringan dengan hubungan kita kepada Allah SWT.

Kita bukan semata-mata membawa nama Islam untuk ditayang. Kita bukan semata-mata membawa peribadi baik untuk ditatang. Tetapi kita menghidupkan Islam dan membumikannya di dalam kehidupan kerana mencari redha Allah Ar-Rahman.

Tiada lain yang diredhai Allah selain Islam.

“Sesungguhnya cara hidup di sisi Allah itu hanyalah Islam” Surah Ali Imran ayat 19.

Dan Islam yang kita mahu bukanlah Islam celup-celupan dengan pelbagai warna nafsu manusia. Kita ingin membawa Islam secara menyeluruh.

Mengambil celupan Allah sepenuhnya.

“Celupan Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah akan acuannya?” Surah Al-Baqarah ayat 138.

Bukan untuk berbangga-bangga bahawa kita sedang menuju syurga.

Tetapi untuk kebahagiaan akhirat dan keselesaan dunia juga.


Penutup: Manusia meninggalkan Islam, Allah tidak merugi

Sekiranya seluruh dunia ini kufur kepada Allah, Allah tetap tidak merugi.

“Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha kaya(tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” Surah Ali Imran ayat 97.

“Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah An-Nisa’ ayat 131.

“Dan Musa berkata: “”Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

Namun siapakah yang merugi?

Manusia itu sendiri.

Lihat sahaja apa yang Islam arahkan, yang mana satu kah yang membawa kepada keburukan?

Lihat sahaja apa yang Islam larang, yang mana satu kah yang membawa kepada kebaikan?

Islam adalah yang terlengkap, terbaik, tersempurna. Sebab ia datang daripada Allah. Tuhan, bukan manusia. Bahkan Tuhan yang sebenar-benarnya, bukan yang direka-reka manusia.

Maka menjadi ghuraba’ adalah menjadi orang-orang yang bahagia.

Walau seluruh dunia membencinya, mengkonspirasi merosakkannya, manusia ghuraba’ tetap tenang dan bahagia di dalam jiwanya, merdeka di dalam hatinya, kerana dia yakin dia terjaga.

“…sekiranya mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di dalam hadith 40 An-Nawawi.

Hidup mulia, kalau mati pun mati syahid, di akhirat nanti berbahagia abadi.

Siapa yang tidak bahagia?

Menjadi ghuraba.

Walaupun payah!

No comments:

Post a Comment